Pages

Friday, 28 December 2012

Taklimat Pelaksanaan Melindungi Masa Instruksional (MMI)

GURU MENGAJAR MURID BELAJAR

 Oleh : Hjh Siti Aminah Bt Ibrahim

 ABSTRAK
Pengetua sebagai pemimpin kurikulum di sekolah perlu memastikan Tiga Idea Utama Pendidikan terlaksana secara berkesan iaitu fokus kepada pembelajaran murid, kolaborasi antara guru (kerja sepasukan) dan fokus kepada hasil atau kemenjadian murid. .

 Guru yang meninggalkan bilik darjah selalunya mempunyai urusan atau alasan yang munasabah. Pasukan pentadbiran sekolah harus bijaksana dalam memainkan peranan  memastikan academic learning time atau masa pembelajaran berkesan berjalan lancar dan guru mesti ada dalam bilik darjah serta berfungsi dengan sewajarnya.

Beberapa cadangan diutarakan dalam kertas kerja ini bersama strategi pelaksanaannya seperti Latihan Dalam Perkhidmatan, guru membuat tukar ganti atau jual beli kelas, carta alir yang menetapkan SOP (Standard Operating Prosedur) bagi guru cemerlang atau penceramah (guru) keluar sekolah masa P&P, meninggalkan latihan untuk murid semasa berkursus melebihi satu hari, amalan pemantauan “Learning Walk”  dan Program “Teach To Teach”.
Usaha melindungi masa instruksional (protecting instruksional time) di sekolah untuk meningkatkan keberhasilan pembelajaran murid ini  memerlukan kerjasama dan sokongan padu daripada semua peringkat lapisan sekolah kerana kejayaan melindungi masa instruksional tidak mampu dicapai tanpa kerja berpasukan yang mantap.
 
1.0              PENGENALAN
Semua program dan rancangan yang dirangka oleh KPM adalah berfokus kepada keberhasilan pembelajaran murid dan ianya harus dilaksanakan tanpa halangan bagi mencapai objektif yang telah disasarkan. Melindungi masa instruksional merupakan salah satu komponen fungsi pemimpin instruksional bagi memastikan tempoh masa untuk pembelajaran secara berkesan berlaku tanpa halangan.  Justeru, pengetua sebagai pemimpin kurikulum di sekolah bertanggungjawab memastikan peningkatan masa pembelajaran berkesan ini atau “academic learning time” berlaku dalam kalangan murid-murid.


1.0              ISI KANDUNGAN

 I.                   PERNYATAAN ISU

Profesion perguruan atau bekerja sebagai guru adalah antara beberapa jenis pekerjaan yang penting dalam proses pembangunan manusia, masyarakat dan negara. Profesion perguruan merupakan profesion paling utama di dalam proses penyerapan ilmu pengetahuan kepada individu dan masyarakat.  Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-9 menekankan usaha-usaha dilaksanakan agar dapat merealisasikan Misi Nasional. Namun begitu perubahan dasar yang drastik dan kritikal telah memberi tekanan yang amat besar kepada guru-guru di seluruh negara hingga berlaku kealpaan pada sikap amanah seorang guru terhadap muridnya. Sedikit demi sedikit nilai kemanusiaan seorang guru terhakis termasuklah nilai kepimpinan dan matlamat amanah bekerja terhadap profesionnya.

Guru-guru meninggalkan bilik darjah atas urusan atau alasan seperti:

1        Mesyuarat/hadiri taklimat
2        Berkursus
3        Menghadiri majlis rasmi
4        Jemputan ceramah (Guru Cemerlang)
5        Mengiringi murid dalam pertandingan koakademik, sukan dan permaianan
6        Sikap guru yang kurang “sense of urgency” untuk hadir ke kelas tepat masanya.
7        Sikap murid yang tidak minat belajar.
8        Guru cuti sakit atau kecemasan.
9        Guru cuti bersalin.
I.                   CADANGAN TINDAKAN / PENYELESAIAN
Pengetua bertanggungjawab melindungi masa instruksional (masa pengajaran dan pembelajaran) atau dengan kata lain memastikan guru mesti ada dalam bilik darjah dan berfungsi sewajarnya.
 Kertas kerja ini menyediakan cadangan tindakan atau penyelesaian kepada isu guru meninggalkan bilik darjah mengikut keadaan berikut:
A.    Latihan dalam Perkhidmatan.
Sebagai pemimpin sekolah, pengetua perlu menganjurkan Latihan Dalam Perkhidmatan  yang menekankan amanah merupakan salah satu daripada sifat atau akhlak yang mulia. Oleh itu tugas atau pekerjaan yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap orang, lebih-lebih lagi tugas atau pekerjaan yang dibayar upah daripadanya adalah salah satu daripada amanah yang wajib dilaksanakan. Melaksanakan tugas atau tanggungjawab itu pula hendaklah dengan penuh sifat amanah seperti Firman Allah swt:  Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu,sedang kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Anfal :27).
Guru-guru mesti memastikan jumlah waktu pengajaran yang telah diamanahkan peruntukan masa untuk mengajar mestilah mencukupi bagi setiap mata pelajaran yang diajar bagi setiap minggu. Perlu diingatkan sebagai seorang Islam, kecukupan masa mengajar yang merupakan amanah seorang guru akan disoal apabila di akhirat nanti.
A.    Meninggalkan bilik darjah untuk satu hari (seperti menghadiri mesyuarat, kursus, taklimat, menghadiri majlis rasmi, memohon cuti CRK, mengiringi murid dan jemputan ceramah).
 
·         Guru-guru hendaklah seboleh-bolehnya  membuat tukar ganti atau jual beli masa pengajaran dengan guru-guru lain yang mengajar kelas yang sama sebelum menghadiri urusan tersebut. Sebuah papan kenyataan disediakan di bilik guru untuk guru-guru membuat urusan tukar ganti atau jual beli kelas dan memaklumkan kepada Penolong Kanan Pentadbiran apabila urusan tukar ganti atau jual beli selesai. 
·         Bagi sekolah-sekolah luar bandar  yang muridnya tidak cemerlang dan ibu bapa kurang prihatin terhadap prestasi akademik anaknya, pihak sekolah menghadapi masalah kehadiran murid-murid jika bengkel teknik menjawab peperiksaan dibuat pada sebelah petang. Oleh itu, guru akan menyusun jadual ceramah supaya dilaksanakan pada sebelah pagi bagi mengatasi masalah ketidakhadiran murid. Situasi ini kadang-kadang disalahkan erti oleh pengetua yang guru cemerlang atau penceramah bertugas di sekolahnya dalam usaha sama-sama melindungi masa instruksional di sekolah masing-masing. Justeru, satu carta alir yang menetapkan SOP (Standard Operating Prosedur) dicadangkan untuk diaplikasikan bersama antara pengetua ( rujuk Lampiran 2) dalam usaha memastikan kepakaran guru dan peningkatan keberhasilan pembelajaran murid dikongsi bersama. 
·         Jika masa P&P diguna untuk ceramah atau bengkel teknik menjawab peperiksaan, sudah pasti P&P rasmi yang sepatutnya berjalan terhalang yang melibatkan guru P&P rasmi dan guru yang mata pelajarannya sedang diberi ceramah. Justeru, dalam  usaha melindungi masa instruksional penyelesaian yang harus diambil ialah :
-          Bagi guru yang masa P&P rasmi terhalang.
Ketua Panitia cari alternatif  supaya P&P rasmi guru tersebut  diganti hari lain. Sebaiknya masa P&P rasmi mata pelajaran yang dibuat teknik menjawab dijadikan ganti.
-          Bagi guru yang  mata pelajarannya sedang diceramah.
Guru tersebut mungkin ada P&P kelas  lain pada masa itu. Jika guru ingin mengikuti ceramah bersama murid, hendaklah membuat tukar ganti kelas dengan guru lain supaya P&Pnya tidak kekurangan waktu mengajar.
A.    Meninggalkan bilik darjah melebihi satu hari (seperti menghadiri kursus)
Guru-guru akan sama ada membuat :
·         urusan tukar ganti atau jual beli kelas sebelum menghadiri kursus, atau
·         meninggalkan latihan atau kerja murid dengan menulis tarikh dan masa latihan perlu diedarkan kepada Penolong Kanan Pentadbiran. Guru guru ganti akan memastikan murid membuat latihan pada masa/waktu mata pelajaran sepatutnya berlaku. Dengan ini, masa instruksional untuk mata pelajaran tersebut dilindungi.  
B.     Kurang sense of urgency untuk hadir ke kelas tepat masanya.
Kepimpinan instruksional merupakan pemimpin sekolah yang mengambil peduli atau cakna terhadap pengajaran guru dan pembelajaran murid. Pengetua perlu sentiasa kelihatan dan mengekalkan visibiliti yang tinggi dalam usaha memperbetulkan keadaan sekolah untuk penambahbaikan prestasi murid. Dalam situasi ini, pengetua mengamalkan pemantauan  Learning Walk   yang melibatkan:  
·         lawatan ringkas pengetua( tanpa menetapkan masa lawatan) ke bilik darjah semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan
·         pengetua berada dalam bilik darjah dengan memfokuskan kepada kurikulum operasi selama 5 – 10 minit.
·          data dikumpul daripada proses P&P dengan membuat catatan dalam borang pemantauan (rujuk Lampiran 3).
·         guru dan pengetua membuat muhasabah (reflect) proses pengajaran.
·         dalam perjumpaan guru, pengetua berkongsi amalan pengajaran yang baik dan menegur kebiasaan yang ditemui semasa lawatan  
C.    Sikap murid yang tidak minat belajar.
Satu daripada punca yang dikenalpasti di sekolah ini guru meninggalkan bilik darjah ialah kerana rasa putus asa apabila murid tiada  minat untuk belajar. Guru membuat persediaan untuk mengajar mengikut Rancangan Pengajaran Harian tetapi murid ‘hilang’ atau tidak berada di dalam kelas, ponteng mata pelajaran tertentu dan selalu tidur semasa guru mengajar. Bagi seorang guru yang merasakan ”teaching is a work of heart”, situasi begini akan dapat ditangani dengan mudah dan efektif. Tetapi bagi sesetengah guru yang kurang bermotivasi, jalan mudah diambil ialah dengan tidak berada dalam bilik darjah. Jika ini berlaku, punca masalah murid tidak berminat belajar tidak akan dapat diselesaikan. 
Cadangan penyelesaian bagi keadaan begini ialah program “Teach To Teach”. Strategi pelaksanaannya ialah :
·         Guru yang menghadapi masalah pengajaran atau masalah murid tidak memberi tumpuan semasa P&P berjumpa pengetua untuk berbincang.
·         Guru mengisi borang (rujuk Lampiran 1, Program “Teach To Teach” )
·         Menetapkan tarikh, hari, masa, topik yang hendak diajar dan memberi bahan pengajaran (jika ada) yang perlu kepada pengetua.
·         Pengetua melaksanakan pengajaran seperti dirancang oleh guru.
·         Pengetua memberi maklum balas kepada guru berkaitan pengajaran guru yang perlu dibaiki dan petua menarik minat pembelajaran murid.
·         Pengetua berkongsi amalan pengajaran yang baik dan menegur kebiasaan yang ditemui semasa pengajarannya dalam kelas yang bermasalah tadi.  
D.       Cuti Sakit atau Kecemasan
Bagi kes ini, masa instruksional dilindungi apabila guru ganti masuk kelas dengan membawa Bakul Ilmu (disediakan oleh Pusat Sumber Sekolah untuk Program “1 School Reads”) untuk dibaca oleh murid-murid dan mengisi Rekod Buku Nilam jika selesai bacaan. 
E.     Guru Cuti Bersalin
Pengetua seharusnya memastikan enam bulan sebelum guru bercuti, guru telah merancang dan membuat kelas-kelas bagi menyelesaikan tajuk-tajuk mengikut Rancangan Pengajaran Tahunan yang ditetapkan. Rancangan Pengajaran Harian untuk tajuk-tajuk yang perlu diselesaikan ini juga perlu dibuat pada muka surat khas supaya mudah dipantau oleh pengetua.
Kelas tambahan yang diadakan hendaklah dibuat selepas masa persekolahan, masa cuti persekolahan atau masa-masa lain yang sesuai tetapi tidak menggangu masa P&P rasmi.  Cadangan ini adalah untuk memastikan masa instruksional dilindungi jika sekolah tidak mendapat guru ganti pada masa guru cuti bersalin nanti.  
I.                   KESIMPULAN
Melindungi masa instruksional perlu dirancang dengan penuh kebijaksanaan oleh pemimpin sekolah dan guru-guru bagi memastikan pembelajaran berlangsung di sekolah dan murid akhirnya dapat belajar secara berkesan. Usaha ini  memerlukan kerjasama dan sokongan padu daripada semua peringkat lapisan sekolah kerana kejayaan melindungi masa instruksional tidak mampu dicapai tanpa kerja berpasukan yang mantap.  
1.0              SYOR
Dicadangkan agar program ini dapat dilaksanakan di semua sekolah. Pelaksanaannya diharap dapat memastikan Tiga Idea Utama Pendidikan (Three Big Ideas In Education) terlaksana iaitu fokus kepada pembelajaran murid, kolaborasi antara guru (kerja sepasukan) dan fokus kepada hasil atau kemenjadian murid.
2.0              RUJUKAN
1.      Bahan Kursus Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) untuk Guru Kanan, PK Pentadbiran, Pengetua Dan Guru Besar, pada 22 -24 Mei 2012 di IAB(Utara). 
2.      Melindungi Masa Instruksional (Protecting Instruktional Time) Di Sekolah Untuk Meningkatkan Keberhasilan Pembelajaran Murid. Nota Sektor Operasi Pendidikan, KPM 2012.
3.      Amalan-Amalan Terbaik Pengurusan Pendidikan. Majlis Pengetua Cemerlang Kebangsaan, 2010.

Friday, 21 December 2012

Mesyuarat Guru Pertama Sessi Persekolahan 2013

MESYUARAT GURU PERTAMA UNTUK SESI PERSEKOLAHAN 2013

Tarikh   : 26.12.2012
Hari       : Rabu
Masa      : 8.30 a.m. - 1.00 p.m.
Tempat  : Bilik Mesyuarat SK St Mark Perai
Pakaian  : Rasmi pejabat
Pengerusi Mesyuarat : En Abdul Razak b Kamal
Agenda   : 
1. Aluan Pengerusi Mesyuarat
2. Pengesahan Minit Mesyuarat Yang Terakhir
3. Perkara berbangkit
4. Perutusan dan Taklimat Guru Besar 
5. Perlantikan Rasmi Jawatankuasa 2013 dan edaran Takwim Perancangan 2013
6.Taklimat PK Pentadbiran dan Kurikulum
7.Taklimat PK Hal Ehwal Murid
8.Taklimat PK Kokurikulum
9. Hal-hal Lain
10.Penangguhan mesyuarat

Semua guru dijemput hadir pada tarikh dan masa yang ditetapkan.
Terima kasih